Friday, June 20, 2008


Lawatan Kerja Ke Dubai Bersama Delegasi Kerajaan Negeri Selangor post info
By Anwar Ibrahim
Categories: Antarabangsa, Anwar, Dunia Arab and Ekonomi

Saya ke Dubai sehari bersama YAB Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan dua pengurus dari Selangor menemui pelabur utama disini.
Kami membincangkan potensi pelaburan di Selangor dan negeri Pakatan Rakyat dengan jaminan kos pengendalian perdagangan dan pelaburan tanpa rasuah, dan kelulusan segera tanpa karenah pentadbiran. Pertemuan diadakan dengan 7 konglomerat besar dengan cadangan projek.
Di sebelah malamnya kami bersama YB Dato’ Husam Musa sempat menemui dan berdialog dengan masyarakat Malaysia Dubai.
Soalan popular: bila ka Putrajaya?Jawab saya: inshaallah, usaha dan doa.
ANWAR IBRAHIM

Thursday, June 19, 2008


Bisikan Syahadah Di Ringlet (dipetik dari HidayahNet)
Oleh: Dini Syarif
Aku mengerling ke arah jam di pergelangan tangan. Pukul 6.00 petang. Hari tampak makin kelam, siang kian berangkat pergi. Kujeling Auzan yang begitu fokus memandu. Saiful di kerusi belakang asyik memerhati gunung-ganang yang menggamit pandangan. Rabbani dan Rahman pula kelihatan begitu letih. Keadaan di Kuala Lumpur amat sesak, serasa perjalanan ke Cameron Highland ini begitu memenatkan.
Inilah kali pertama aku mendaki kawasan yang cukup dingin ini. Bayu yang mengelus memang menyegarkan, amat mendamaikan. Namun singgahanku ini bukanlah sekadar liburan, tetapi kupunya satu misi agung. MengIslamkan Amar Thapa. Akalku segera mengenang apabila lelaki Nepal itu menghubungiku Jumaat yang sudah. Dia menyatakan keinginan untuk memeluk Islam. Katanya dia kini berkerja di Cameron Highland.Cameron Highland? Letaknya jauh beratus batu. Sedangkan harga petrol naik mendadak.Lamunanku terhenti. Kereta yang berselisih membunyikan hon. Di batu penanda tertera jelas jarak menuju Ringlet tinggal lagi 20 kilometer. Aku mengeluh panjang. Hujung minggu sebegini sewajarnya aku luangkan bersama famili. Inilah detik rehatku yang paling tepat. Selaku aktivis, waktu kerjaku bukan hanya sembilan pagi hingga enam petang. Adakalanya hingga larut malam. Silap-silap, bermalam di pejabat atau mungkin di merata-rata tempat.Berjalan ke sini sana seakan-akan jadi suatu rutin. Termasuk apa yang aku alami sekarang, berjaulah beratus kilometer ke kawasan pedalaman – demi mengIslamkan Amar! Entah-entah, Amar ini masih ragu-ragu, lalu tiba-tiba dia enggan memeluk Islam. Buang masa saja!Astaghfirullah, cepat-cepatku beristighfar. Ah! Lelaki itu cukup bernilai; walau hanya dia seorang. PengIslamannya adalah satu rahmat. Namun, seandainya dia menolak Islam, itu dikira sebagai suatu muhasabah. Allah Ta'ala Maha Penentu. Kita buat kerja kita, selebihnya serah pada Tuhan. Hanya Allah Ta'ala yang berkuasa memberi petunjuk, sedangkan kita hanya menunjuk ajar. Usah riak dan angkuh, seakan-akan kita yang melempar hidayah. Cukup hanya kita pimpin sedaya mampu, lalu kita bergantung pada Rabb.Ya Allah! Bukakanlah pintu hati Amar agar dia menerima Islam.. . . . . . . .Telefon bimbit kucapai, langsung tujuh digit didail. Amar cepat-cepat menjawab. Suaranya ceria. Mungkin sudah tidak mampu membendung sabar. "Saya ada di depan Bank CIMB, kita jumpa di sana."Wira meluncur laju. Auzan sibuk mencari tapak parkir yang sesuai. Sangkaanku tentang pekan Ringlet benar-benar meleset. Tercetus di minda; kawasan ini kampung yang tidak membangun, desa yang mundur. Telahanku salah. Walaupun tidak begitu pesat, bandar ini tetap meriah. Cuacanya pula agak sederhana, tidak terlalu sejuk. Mungkin tidak sesejuk Tanah Rata yang mendekati puncak.
Kedengaran jelas suara kaum Cina berpadu mengiramakan koir di sebuah dewan agama. Kereta diletak berhampiran. Aku turun terlebih dahulu, langsung berseloroh, "Antum turun sekali ya. Takutlah ana kena culik ke nanti." Sambil menapak perlahan, aku tertinjau-tinjau. Bagaimana agaknya rupa Amar? Kata Saiful, bangsa Nepal ini warna kulitnya cerah dan bermata sepet.Ada tiga kelibat berseluar ala militari, lagaknya seperti menanti seseorang. Dua daripadanya macam sebangsa, manakala seorang lagi kulitnya sedikit gelap persis orang India. Sengaja kudail nombor Amar, ingin menduga apakah dia salah seorang dari mereka.Tangannya giat menyeluk poket mencapai telefon. Sah, pemuda tinggi kurus itu ialah Amar! Aku menghampiri mereka. Masing-masing tersenyum lebar. Tangan dihulur, hangat terasa. Moga pertemuan kali pertama ini mencipta sejarah pengIslamanmu Amar! Empat yang lain turut bersalam erat. Lalu mereka bertiga kuajak duduk di kedai makan yang berdekatan.Sambil berjalan, kubuka kantung mesej selular. Mesej ringkas dari Pakcik Muhammad dibaca berulang kali. "Terangkan rukun Islam kepada dia, fahamkan dia makna dua kalimah syahadah yang akan dia ucapkan. Jika dia mahu, maka terima syahadahnya. Kalau boleh biar ada orang Islam di sana yang saksikan dan temankan dia untuk buat pendaftaran di Jabatan Agama Islam Pahang."Proses yang pertama bagiku agak mudah. Cukup sekadar menerangkan perkara-perkara asas kepercayaan Islam. Namun tindakan susulan itu yang agak merisaukan. Rasanya agak sukar mengenalpasti orang Islam yang sudi menolong. Tidak ramai orang Melayu yang sanggup untuk membantu dalam hal sebegini, apalagi Amar ialah rakyat asing. Komuniti Muslim di sini juga tidak begitu besar. Dari mana agaknya pertolongan itu akan datang?Allah Ta'ala. Aku ada Tuhan di sisi. Bantuan dari Tuhan pasti akan datang mengiringi.Tidak mengapa, urusan teknikal itu biar diketepikan dulu. Paling penting, akidah pemuda ini mesti diluruskan.. . . . . . . .

"Saya Shob Bahadur, dan ini Joy Dass dari Bangladesh." Pemuda bertubuh tegap itu memperkenalkan diri. Joy tersipu-sipu malu. Bahasa Melayu Shob agak pelat, tapi masih boleh difahami. Dia duduk bersetentang dengan Amar yang sedari tadi tunduk. Mungkin rasa takut membalut hati. Bertukar agama bukanlah perkara main-main. Ini melibatkan hidup dan mati!Aku turut rasa gentar. Inilah pengalaman sulungku mensyahadahkan bakal saudara baru. Jantung berdetak kencang. Auzan, Saiful dan Rahman memandang tepat ke arahku. Suasana senyap sunyi. Rabbani pula gigih mencari syot yang menarik untuk dirakam. Syukurilllah, kehadiran mereka berempat benar-benar menguatkan keyakinanku.Aku mendehem, langsung membuka bicara; "Baiklah, saya dengar Amar ingin memeluk Islam. Shob pun berminat juga ke?" Sengaja kusenyum ramah, ingin meleraikan tembok yang masih meninggi di antara kami. Amar dan Shob mengangguk serentak.Aku menambah ringkas, "Joy pula?". Joy hanya tersengih, Shob membalas dalam nada berbisik. "Joy tak berminat. Lagipun dia amat susah untuk menerima Islam setelah diceritakan. " Rupanya bukan satu, tapi ada dua pemuda berharga yang jiwanya sedang terbuka luas. Sementara pemuda yang ketiga masih hatinya masih terkatup rapat.Moga-moga Allah Ta'ala menerangi kalbumu dengan nur Iman, Joy!"Jadi boleh saya tahu kenapa Amar dan Shob ingin memeluk Islam." Soalan ini sengaja kutanya, demi menduga apakah sebab mereka ingin menganut agama tauhid ini. Lalu Amar menjawab tersekat-sekat, "Kami ingin masuk Islam sejak berada di Nepal, tapi di sana agak susah. Sebab orang Islam sangat sedikit. Jadi, kami mahu ambil peluang di Malaysia untuk masuk Islam." Shob mengiyakan jawapan Amar.Syukur dan hamdallah bersatu. Rupa-rupanya hasrat untuk memeluk Islam sudah lama berbuah di jiwa Amar dan Shob. Cuma perlu diserikan dengan didikan agar buahnya ranum dan harum. Lalu dengan izin Allah Azzawajalla, buah itu boleh dipetik, menyerikan lagi taman-taman orang yang beriman. Semoga niat kudus itu tetap mekar mewangi, hingga hela nafas yang terakhir.
Meyakini keinginan Amar dan Shob yang membuak-buak, aku mula bersyarah khutbah syahadah. Tidak panjang, cukup hanya menjelaskan pokok ajaran Islam. "Apa yang membezakan Islam dengan agama lain ialah konsep ketuhanan. Di dalam Islam, kami hanya percaya dan yakin akan kewujudkan satu Tuhan, iaitu Allah Ta'ala. Segala apa yang kami lakukan di bumi ini hanyalah untuk Allah Ta'ala, sebagai Pencipta manusia dan juga alam semesta."Amar dan Shob menyengguk. Joy sekadar memerhati dari jauh."Selain itu, kami juga percaya dan yakin bahawa Nabi Muhamad Solallahu 'alaihi wassalam ialah pesuruh Allah Ta'ala. Dia merupakan Nabi Allah Ta'ala." Aku berhenti di situ. Berehat sejenak selepas intipati syahadah dirungkai secara ringkas."Amar dan Shob faham?" Sengaja kupanggil nama mereka sebagai ganti nama, agar keadaan jadi lebih mesra. Kesuraman ini mesti dilenyapkan.Amar dan Shob lalu berbual dalam bahasa yang tidak kufahami. Mungkin keduanya berbincang tentang apa yang aku katakan tadi. Joy pula sibuk bertanya Rahman; sambil merujuk pada terjemahan Al-Quran Bahasa Inggeris yang turut dibawa bersama. Kebetulan, beberapa naskhah kitab yang dibawa Rabbani amat membantu sebagai bahan rujukan dan sokongan.Tiba-tiba Shob menjawab "Saya faham, dia tak fahamlah." Sambil sedikit mendongak ke arah Amar. "Dia susah faham Bahasa Melayu, kena cakap perlahan-lahan. "Baru kutahu; Shob pandai berbahasa Melayu, tetapi tidak mampu berbahasa Inggeris. Amar pula mampu berbahasa Inggeris, namun sukar memahami Bahasa Melayu. Sedangkan Joy gagal menguasai kedua-dua bahasa, hanya faham sikit-sikit lantaran hijrahnya ke tanahair amat mutakhir. Aku tersenyum sendiri, atau mungkin kalamku terlalu cepat!Lalu kusampaikan penerangan secara dwibahasa; selepasku berbahasa Melayu, aku terjemahkan dalam Bahasa Inggeris bagi meraikan kedua-dua lelaki ini. Kefahaman Amar dan Shob nampaknya semakin jelas. Tapi dari riak paras mereka, tampak seolah-olah mereka menyembunyikan sesuatu. Ada yang benda yang membuku di hati, namun tidak mahu diluahkan.
Seraya aku menambah, "Islam agama yang mudah. Pengamalan Islam boleh dilaksanakan secara berperingkat. Seperti solat. Saudara baru seperti kalian sudah pasti tidak mahir bersolat. Maka, kalian tidak wajib bersolat sehingga Amar dan Shob tahu bagaimana untuk bersolat. Begitu juga membaca Al-Quran. InsyaAllah, kalian akan didatangi seorang ustaz untuk mengajarkan kaifiat solat, tilawah Al-Quran serta lain-lain ibadah yang wajib dilakukan." Kuucapkan panjang lebar.Auzan lantas menambah, "Paling penting, hati kita semua. Jika kita betul-betul ikhlas ingin menganut Islam, maka kita belajar perlahan-lahan. Solat dan puasa itu wajib kalian lakukan kelak, tapi pastikan kalian terlebih dahulu memahami dan menghadami ajaran Islam yang suci." Teh 'O' suam yang masih bersisa dalam gelas diteguknya penuh berhati-hati.Amar, Shob dan Joy mengangguk lagi.
Kumula memancing perlahan-lahan, "Asalkan Amar dan Shob percaya dan yakin bahawa Tuhan itu satu, dan Nabi Muhammad Sollahu 'alaihi wassalam itu pesuruh Allah Ta'ala, maka kalian sudah meyakini Islam itu agama yang benar. Tentang solat, tadarus Al-Quran dan puasa, itu bisa dipelajari kemudian. Perlahan-lahan, sampai kalian menguasai ilmu-ilmu itu."Semua diam. Lima belas minit yang sudah azan Maghrib berkumandang di corong radio. Diikuti alunan irama nasyid kontemporari. Lalu kini Mulan Jameela mendendangkan lagu 'Makhluk Tuhan Paling Seksi'. Tidak. Bagiku, dakwah sedikit rumit untuk berlangsung dalam bi'ah sebegini. Langsung kudekati pekerja kedai itu dan memohon izin untuk mengubah saluran.Cepat-cepat dia mematikan radio. Sungguh, dia amat memahami. Moga Allah Azzawajalla membalas jasa murninya!Amar mengangkat wajah, mengajukan soalan, "Bagaimana untuk jadi Muslim yang baik?"Maha Suci Allah, pemuda ini begitu tulus! Dia bukan hanya mahu menganut Islam semata-mata, seperti majoriti Muslim serata benua. Tetapi dia ingin menjadi Muslim yang soleh. Pertanyaannya menampar hatiku halus. Sepanjang 23 tahun dihidupkan di muka bumi Tuhan, jarang sekali, aku menyoalku diriku sendiri; apakah aku sendiri Muslim yang benar-benar bertaqwa? Mukmin yang selayaknya dijanjikan rahmat dan maghfirah dari Tuhan.
Ya Allah, dari-Mu aku datang dan pada-Mu aku pasti kembali.Aku mencari jawapan serata benak. "Untuk jadi Muslim yang baik, pertamanya perlu meyakini keesaan Allah Ta'ala sebagai Rabb sekalian alam. Juga yakin bahawa Nabi Muhamad Solallahu 'alaihi wassalam. Seterusnya mengimani rukun-rukun iman yakni yakin dengan wujudnya malaikat, nabi-nabi Allah Azzawajalla, kitab-kitab Tuhan, hari kiamat juga qada' dan qadar. Semua itu akan dipelajari nanti." Sengaja kutenangkan hati mereka dengan ayat penutup ini."Selain itu, kita mesti lakukan pada yang disuruh oleh Allah Ta'ala. Rukun Islam yang lima wajib dipatuhi. Syahadah yang akan saya ajar sebentar lagi, bersolat fardhu, puasa dalam masa sebulan." Dua lagi rukun tidakku tekankan sepenuhnya. Khuatir Amar dan Shob jadi makin keliru. Proses tarbiah sepatutnya berjalan secara berperingkat. Hikayat sirah Nabawiyah sudah membuktikan!Satu soalan yang sudah kuduga terpacul dari bibir nipis Shob, "Tentang 'potong', untuk masuk Islam memang terus kena 'potong' ke?" Rabbani dan Saiful serentak tersenyum manis. Rahman terpinga-pinga. Aku turut tersengih. Selama ini aku hanya menadah telinga dari para penceramah yang mengkisahkan bahawa berkhatan ialah antara punca yang menghalang cita-cita untuk diIslamkan. Lazimnya isu ini jadi bahan lawak bagi menggamatkan suasana kuliah, dan jarang sekali untuk kita fikirkan sungguh-sungguh. Kalaulah kita berada di tempat mereka.Kujejak balasan yang sarat hikmah. "Bila Amar dan Shob betul-betul bersedia untuk 'potong', maka 'potong'lah. Jika masih belum bersedia untuk di'potong', tak bermakna kalian bukan Muslim yang baik. Fahami isi ajaran Islam dahulu, itu jauh lebih utama." Lirik mataku dan Shob berlaga sejeda. Dapatku baca riak kelegaan di wajahnya. Langsung Auzan memperincikan kaedah berkhatan berserta sebab disyariatkan amalan ini. Ibadah yang sekian lama wujud, hatta sebelum era kenabian Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam.
. . . . . . . .Jarum jam tepat menuju angka lapan dan enam. Dari jam tujuh santak lapan setengah malam, butir bicara kami tidak putus-putus. Bermacam pertanyaan ditimbulkan, lalu aku berikhtiar menyelesaikan seboleh mampu. Auzan, Rahman, Saiful dan Rabbani yang setia teguh di sisi, banyak membantuku merungkai persoalan. Terima kasih, wahai teman seperjuangan!Waktu Isyak kian menjengah. Kukira inilah detik terbaik bagi untukku mensyahadahkan kedua-dua pemuda ini. Tidak semena-mena pengalaman bersyahadah tokoh pendakwah, Lim Joo Soon terbit di ufuk minda. Ujar beliau melalui ceramahnya; beliau hanya berjaya bersyahadah selepas setengah jam! Bukan angkara sendiri, tetapi rencana pegawai yang mengIslamkan. Masakan, kalimah yang dilafazkan diharap begitu sempurna tajwidnya! Mana mungkin kepelatan ini dapat dibuang di kala genting sebegini, detik meluruskan akidah ke Siratul Mustakim.Menurut hematku, bunyi yang sudah menyerupai syahadatain sudah cukup memadai. Tunjuk satu-satu, beri peluang seluas-luasnya untuk dia menurut apa yang diajarkan. Diikuti dengan melafazkan terjemahan kalimah syahadah menerusi bahasa yang mudah difahami.Ya Rabb, permudahkanlah urusanku ini. Lembutkanlah hati Amar dan Shob untuk menerima Islam! Aku berdehem beberapa kali mencari kekuatan, "Amar dan Shob benar-benar percaya dan yakin bahawa Tuhan itu satu? Iaitu Allah Ta'ala yang menciptakan manusia dan segenap alam cakerawala?" Anak mata Amar dan Shob kupandang tepat bergilir-gilir.Dua-dua mengangguk.Langsung kutambah, "Amar dan Shob juga percaya dan yakin bahawa Nabi Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam itu pesuruh Allah Azzawajalla? "Dua-dua mengangguk.
Tawakal setinggi angkasa kusandarkan pada Tuhan, "Alhamdulillah, hakikatnya kepercayaan Amar dan Shob serupa dengan kepercayaan orang Islam. Kalian begitu hampir dengan Islam. Apa pun, untuk menjadi Muslim, kalian perlu bersyahadah. Mudah saja, saya akan ajarkan perlahan-lahan. Boleh?" Jantung berdegup deras menanti reaksi.
Dua-dua mengangguk.Tangisku hampir-hampir terhambur. Sungguh, penantian itu suatu penderitaan. Namun penghujungnya indah andai sabar jadi perisai. Tanpa alpa pada kehendak dan kuasa Tuhan!"Baik, biar saya ajar Amar dahulu." Tanganku erat menyalami Amar, lalu kudekatkan mulut ke telinganya. Perlahan-lahan, kubisikkan syahadatain yang mulia di telinga lelaki ini. Amar menurut perlahan-lahan butir demi butir. "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah Ta'ala, dan Nabi Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam itu pesuruh Allah."Umat Nabi Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam bertambah seorang.Puji dan puja untuk Allah Azzawajalla, selesai sudah urusan mengIslamkan Amar. Kubingkas bangkit lalu melabuhkan punggung di sebelah kiri Shob. Kualunkan kalimah penyaksian, telinganya setia menadah. Tanpa keraguan, dia menyambut sedaya mungkin.Umat Nabi Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam bertambah lagi seorang.Syahdu, syukur dan hamdallah bersatu, mencetus kegirangan. Lafaz tahmid bergema di mana-mana, biarpun hanya di kalangan lapan pemuda yang asyik menyelongkar kebenaran.Pelbagai aksi dirakam menerusi lensa kamera. Terasa kehangatan ukhuwah yang terbina di atas batu asas yang bernama akidah. Joy turut kelihatan gembira. Pemuda suku abad yang agak pendiam itu mulanya hanya tersenyum, tapi kini ngomelnya makin banyak. Kuharap suatu hari nanti, Joy akan turut berkongsi anutan bersama Amar dan Shob. Juga aku, Auzan, Rabbani, Saiful dan Rahman. Mengabdikan diri ke hadrat Allah Ta'ala Yang Maha Esa.Tiba-tiba Amar mengumumkan sesuatu. "Kami ada minta tolong kawan kami untuk petik beberapa sayur-sayuran, sebagai hadiah buat kalian. Terimalah dari kami, beberapa biji kobis dan timun." Langsung dia terseringai. Shob dan Joy pula mengangguk bersetuju.Mulianya hati kalian. Moga-moga Islam akan bertambah mulia dengan pengIslaman Amar dan Shob! Dua bungkusan besar berisi sayur segar-bugar diterima Rahman.
Semoga pulangnya Amar dan Shob ke pangkuan Islam bakal menjadi simbol abadi sebuah persahabatan yang terukir mewah di atas menara syahadah. Kalian saudara kami, di dunia jua di akhirat! Berikrarlah, keakraban yang tercipta tidak akan putus biarpun dicincang oleh musuh-musuh agama. Munajat dipanjatkan, moga-moga pertemuan singkat ini kelak akan dikurniai lindungan 'arasy Allah Ta'ala yang mulia. Ya Rabb, satukan hati-hati kami!Amin. Amin. Amin.Tidak semena-mena Joy mendekatiku."Saya juga mahu masuk Islam." Joy memohon penuh optimis.Air mata sudah tidak terkawal lagi. Allah Maha Besar! Rencana agung Tuhan menewaskan segala macam rancangan makhluk. Allah Ta'ala pemilik tunggal jiwa semua manusia. Hanya Tuhan yang berhak menganugerahkan hidayah, dan kini permata syahadah datang bertamu di kalbu Joy. Jiwa yang benar-benar mencintai kebenaran.Sisa air di pelupuk mata diseka lembut, "Alhamdulillah, mari saya syahadahkan. " Tangan Joy kugenggam ketat. Kalimah syahadah dibisikkan lambat-lambat, Joy mengikut penuh fasih. Umat Nabi Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam bertambah lagi.Perjumpaan hampir dua jam ini akhirnya berakhir. Masing-masing saling berpelukan, tirai yang memisahkan semakin terlerai, moga-moga leraian ini dinilai sebagai ibadah di sisi Tuhan. Sungguh, perpisahan itu memedihkan! Namun penawarnya nantiasa tersedia, penyembuhnya ada di samping kita; saling mendo'akan sesama saudara seagama.Ya Rabb, berkatilah kehidupan Amar, Shob dan Joy!. . . . . . . .Solat jama' takhir dikerjakan di Surau An-Nur. Tenang, setenang kalbu yang baru disimbahi cahaya iman.Bacaan do'a diaminkan.Moga-moga taqwa yang mewarnai diri kekal lestari hingga hujung nyawa. Usah dipersia walau sesaat nikmat iman kurniaan Tuhan.Kerana begitu ramai yang dahagakannya.

Tuesday, June 17, 2008

Kita tertipu rupanya...!!!

HARGA MINYAK PALSU
ISFAHAN - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad semalam menyatakan bahawa harga palsu berlaku di pasaran minyak kerana dunia sebenarnya mempunyai bekalan yang mencukupi.
"Peningkatan penggunaan adalah rendah berbanding peningkatan pengeluaran, " kata Mahmoud kepada mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) di Isfahan, Iran.
"Pasaran dibekalkan dengan minyak yang mencukupi tetapi harga meningkat dan keadaan itu adalah sesuatu kepalsuan dan dilakukan oleh kuasa-kuasa dunia," tambahnya.

Iran merupakan anggota OPEC kedua yang paling banyak mengeluarkan minyak selepas Arab Saudi. "Beberapa tangan, untuk tujuan politik dan ekonomi, sedang mengawal harga dalam satu bentuk perlakuan palsu," kata Mahmoud. Menurutnya, tujuan kenaikan harga itu adalah untuk membiayai kos perang dan pendudukan serta meneroka sumber baru tenaga di dalam lautan di kutub termasuk di tempat lain.

Beliau juga kembali mencadangkan supaya satu mata wang baru boleh digunakan oleh anggota-anggota OPEC bagi menggantikan dolar AS. "Simpanan mata wang anggota-anggota OPEC terjejas dengan teruk berikutan kejatuhan dolar AS," katanya. "Saya sekali lagi menyuarakan cadangan yang saya lakukan enam bulan lalu dalam sidang kemuncak OPEC di Riyadh supaya sekumpulan mata wang berwibawa diwujudkan untuk perdagangan minyak," jelas beliau.
"Atau pilihan lain, OPEC mewujudkan satu mata wang baru untuk perdagangan, " katanya.
Kelmarin, minyak mentah terus mencatatkan rekod dengan harga hampir mencecah hampir AS$140 (RM458) setong semalam walaupun Arab Saudi mengumumkan sedia meningkatkan pengeluaran.

Namun, harga itu menurun semalam apabila harga minyak mentah light sweet untuk Julai didagangkan pada harga AS$134.41 (RM436). - Agensi

Banyaknya duit dibazirkan !!!

Fauwaz Abdul Aziz May 13, 08 9:08pm
RM130,000 sebulan? Itulah gaji bulanan yang dibayar kepada konduktor Orkestra filharmonik Malaysia (MP0). Dan menurut ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, langkah mengekal konduktor dan anggota MPO yang ramai rakyat asing, adalah satu pembaziran wang Petronas. lim guan engSetiausaha agung DAP itu membangkitkan isu tersebut sewaktu membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini. Lim mendedahkan bahawa kos membiayai anggota MPO itu mencecah RM3.5 juta sebulan.Menurutnya, 95 peratus pemuzik asing itu dibayar antara RM16,000 hingga RM28,000 sebulan dan mendapat dua bulan cuti bergaji setiap tahun. Konduktornya pula dibayar RM130,000 sebulan manakala penolongnya dibayar gaji RM50,000 sebulan. Sejak 10 tahun ia ditubuhkan, kata Lim, kos pembiayaan orkestra tersebut berjumlah RM500 juta. Lim juga mendakwa, bekas konduktor residen MPO, rakyat Malaysia - Ooi Chean See - telah meletakkan jawatan selepas tidak diberi peranan sewajarnya.Malaysian philharmonic orchestraSehubungan itu, beliau bertanya, mengapakah Petronas membelanjakan wang yang banyak tetapi tidak memberi faedah kepada pemuzik tempatan. Katanya, pemuzik tempatan dipinggirkan manakala Petronas membelanja begitu banyak wang untuk melayan orang asing, terutama dari Eropah. Menurut Lim, sikap tersebut yang membuat rakyat begitu marah dengan Barisan Nasional (BN).

Monday, June 16, 2008

Komuniti Penduduk Tuntut Siapkan Jejambat




Pada hari sabtu lalu jam 930pagi, komuniti penduduk & Akhbar Sinar Harian mengutarakan permintaan komuniti penduduk agar disiapkan jejambat yang menghubungkan Taman-taman seperti Taman Dahlia, Seroja, Mawar dan Desa Vista ke Kota Warisan Sepang. Sidang media yang diadakan pada sabtu lalu bersama wartawan sinar Cik Siti Azilah. Wakil-wakil dari Taman-taman berkenaan turut hadir memberikan sokongan

Sunday, June 15, 2008

Pantun MInyak

PANTUN MINYAK NAIK AGI.... Hari nie tah hari berapa Pak Lah jadi PM kami
Memang dari dulu kami sokong sampai lani
Tapi hari nie, buka mata, senak perut anak bini
Tengok Pak Lah habag minyak naik lagi

Memang kami tak tau pasai ekonomi
Yang tau semua Pak Lah ngan kroni
Tapi sampai bila nak jadi lagu nie
Dapat gaji habis tak berbaki

Pak Lah habag tak boleh buat apa
Nie semua ekonomi dunia
Kalau tak naik nanti dunia kata apa
Habis tu yang rakyat dok menderita, tak pa ka

Dulu Pak Lah kata nak jaga rakyat
Kunun Pak lah nak kerja sama sama dengan rakyat
Nie dok nampak macam nak telan kederat
Dok nampak kami yang nak melarat

Pak Lah kata masalah rakyat nak ambik berat
Kunun tak mau tengok rakyat hidup melarat
Tapi kalau macam nie punya sarat
Darah rakyat pun boleh sejat

Kerajaan ada kata rakyat manja subsidi
Kunun asyik kerajaan saja dok bagi
Sapa kata kami rakyat tak pernah bagi
Tu...yang lima tahun sekali tu....sapa bagi??

Tiap kali naik harga, dok banding sini sana
Hampa tengok, kat Thailand lagi mahai dari kita
Apa jenis depa punya kira
Awat tak ikut pulak Brunai punya harga

Brunai tak leh kira
depa punya minyak berlambak tak terkira
Awat, minyak Malaysia tak dak harga ka?
kalau tidak, tak kan jual minyak kita beli minyak depa

Ada Petronas pun tak leh buat apa
Ada duit sikit, dah nak mengada
Pi buat segala menara pagoda kembaq dua
Nak tunjuk, kami la kaya

Petronas kata kami tak tau apa
Kerajaan yang buat kira bicara
Kami ikut apa depa kata
Royalti jadi ehsan pun kami tak leh kata apa

Kunun dok habag petronas hak rakyat semua
Pakailah minyak petronas, nanti untung dapat kat kita
Nie, nak tanya la....tiap tahun untung beribu juta Rakyat dapat apa
????? kudis buta....

Hari nie petrol naik 2.70 woi...
Tengok pulak apa cerita sat lagi
Habis ikan, ayam, cabai sampai ke cili
depa pun sama tumpang naik sekali

Nanti ada la menteri tolong bercakap
Sapa naik harga dia nak pi tangkap
Sampai bila la dia nie nak ubah sikap
Ingat yang dok meniaga kat market tu heran kot dia punya cakap

Pak Lah mau renung nasib kami
Kais hari nie makan untuk kemarin pagi
Anak kecik pun dok ada lagi
Boleh hidup ka kami lagu nie

Dah tak larat nak tanggung cukai
Sini cukai, sana cukai
Dari tanah sampai ke pintu punya ada cukai
Dah sampai masa kot Pak Lah kena guna akai

Jangan dok ingat rakyat macam Pak Lah
Gaji berpuluh ribu hidup tak susah
Ada anak pulak bisnes sebelah sebelah
Dapat tender pun tak payah susah susah

Kami rakyat bukan macam tu
Malah la nie pun dah ada rebus siput babi dgan batu
Sedih sungguh ohhhh negara ku
Biar tak merdeka terus pun tak pa kalau lagu tu

Dah sampai masa Pak Lah ingat
Selesai masalah rakyat cepat cepat
Nanti kot rakyat naik meluat
satu undi pun Pak Lah tak dapat

Cukup la sampai di sini
Tobat dah...aku tak mengundi BN kali nie
BN-Parti Barang Naik pulak kot jadi depa lani
Kot ada sapa nak Barang Naik lagi undi la depa lagi...

Thursday, May 22, 2008

Perihal Sepang

Saidah Hairan Thu May 22, 08 5:48:31 pm MYT
SHAH ALAM, 22 Mei (Hrkh) - Menteri Besar, Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan projek-projek usahasama yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor tidak menguntungkan, sebaliknya kerajaan negeri terpaksa menanggung risiko yang tinggi hasil keuntungan yang tidak menentu. -->-->
Menurut beliau, ia ekoran daripada pembelian tanah yang dilakukan oleh kerajaan BN-Umno melalui perjanjian usahasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan syarikat swasta.
Beliau kesal kerana pemaju mempunyai kuasa terhadap tanah apabila kerajaan negeri membeli tanah melalui PNSB dengan pegangan 30 peratus manakala pemaju tanah Sepang Bay Sdn.Bhd sebanyak 70 peratus.
"Saya telah meneliti semua perbelanjaan negeri malangnya segala kekayaan itu tidak dapat disalurkan kepada rakyat ekoran kerugian melebihi 35 bilion," katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Adun Batu Caves, Amiruddin Shari.
Dalam sesi soal jawab lisan, Adun Batu Caves (KeADILan) minta penjelasan tentang syarikat-syarikat kerajaan negeri seperti PKNS dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) yang ada membuat projek pembangunan yang dijalankan secara usahasama dengan syarikat swasta.
Menjawab soalan tersebut, Khalid menjelaskan, antara syarikat projek usahasama yang terlibat Sepang Gold Coast Sdn.Bhd. (Usahasama antara Sepang Bay sdn.bhd. dan PNSB).
Katanya, syarikat tersebut bercadang membina pembangunan berkonsepkan pelancongan di atas tanah seluas 3,686 ekar di daerah Sepang dan 935 ekar di Kuala Langat.
Beliau menjelaskan, sebahagian daripada pembangunan Sepang Gold Coast melibatkan penggunaan teknologi on-stilt (bangunan atas tiang) iaitu menanam cerucuk di atas tanah laut yang melibatkan kos tinggi.
Manakala syarikat Lebar Daun Development Sdn. Bhd. pula bercadang membina dan menyiapkan pusat membeli belah, pejabat dan kediaman di atas Precint 2.9 seksyen 14, Shah Alam dengan keluasan tanah 3.475 ekar.
Malangnya menurut beliau pembinaan itu belum dapat dibina sejak perjanjian usahasama ditandatangani 21 November 2002.
Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar (PAS) mengajukan soalan tambahan, apakah kerajaan Pakatan Rakyat akan meneruskan sistem yang diamalkan oleh kerajaan dahulu, BN.
Khalid menjawab; "Saya telah minta semua syarikat PKNS, PKPS tidak lagi membuat perjanjian usahasama sehingga semua usahasama yang ada diselesaikan."
Menurut beliau, kerajaan BN telah menyerahkan kuasa tanah pada syarikat-syarikat tersebut dan kerajaan negeri hanya memperolehi 6 peratus keuntungan daripada usahasama itu jika berjaya.
"Semua pengusaha syarikat itu telah lari dan perkara ini amat serius," tegas beliau.
Beliau turut simpati dengan ketakutan pegawai terlibat yang mengigil ketika menyerahkan minit berhubung pembelian tanah.
"Saya mempertikaikan tentang perjanjian pembelian tanah itu yang agak cepat, malangnya pegawai tersebut hanya menjawab; "Saya ikut arahan." - mns

Counter

Terima Kasih

Selamat Datang dan terima kasih kerana mengunjungi blog Parlimen Sepang. Blog ini adalah hasil inisiatif sahabat-sahabat seperjuangan yang perihatin akan pentingnya berkongsi maklumat dan pengetahuan tambahan dengan adanya kemudahan ICT.